Sabtu, 31 Oktober 2020

Keperluan Sistem Tenaga Solar

Assalamualaikum. Salam ceria.

Penggunaan sistem tenaga solar pada masa kini sudah meningkat peratusan penggunaannya. Namun sebenarnya masih banyak yang ketinggalan dan tidak sedar akan penggunaan sistem tenaga solar ini. Ada banyak faktor yang menjadikan ianya tidak begitu popular dan peningkatannya juga sangat perlahan.


Antara salah satu faktor adalah tiada keperluan. Manakala tiada kesedaran juga menjadi faktor yang utama. Sebenarnya menggunakan sistem tenaga dari solar panel ini kosnya agak mahal. Pada permulaan solar panel digunakan, kosnya sangat mahal jika dibandingkan dengan kos tenaga elektrik grid yang biasa kita guna dari TnB. Faktor kos inilah menjadikan sistem tenaga solar tidak begitu popular serta menjadikan ia berada di luar zon permintaan.

Bagi saya, penggunaan sistem tenaga solar ini layak digunakan untuk tujuan tertentu. Ianya tidak perlu digunakan 100% dalam kehidupan kita. Kebanyakan sistem tenaga solar ini digunakan untuk menyelesaikan masalah tertentu sahaja dan jika sesetengah pihak yang mempunyai modal yang besar boleh digunakan 100%.


Tidak perlulah sistem tenaga solar ini digunakan sebagai pesaing kepada sistem tenaga sedia ada selagi ianya tidak menimbulkan apa-apa masalah. Sebagai contoh dengan kehidupan kita di kawasan bandar yang mempunyai keperluan elektrik yang baik tidak memerlukan sumber elektrik lain lagi kerana ianya masih digunakan dengan selesa. Manakala kos penggunaan bulanan juga sangat berbaloi dengan cara penggunaan elektrik kita setiap hari. Jika dibandingkan dengan kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem tenaga solar ianya agak mahal dan memerlukan banyak tenaga kerja. Oleh sebab itu sistem tenaga solar ini tidak menjadi keperluan buat masa kini.

Namun lain pula situasinya jika kita berada di kawasan yang tiada keperluan elektrik grid. Contohnya kita berada di kawasan pedalaman yang sangat jauh dengan kemudahan tenaga elektrik grid. Kos untuk mengadakan kemudahan elektrik grid juga mahal dan tambahan pula hanya kita atau beberapa orang sahaja yang tinggal di kawasan terpencil tersebut. Pada masa ini sistem tenaga solar sudah semestikan diperlukan. Dengan memperincikan kebaikan dari sistem tenaga solar ini penggunaannya sangat diperlukan.

Bagi pendapat saya penggunaan sistem tenaga solar boleh digunakan seiring dengan sistem elektrik grid ini. Ianya bergantung kepada penggunaan. Sebagai contoh saya tinggal di kawasan bandar dan menggunakan sistem elektrik grid. Namun saya menggunakan juga sistem tenaga solar untuk lampu automatik luar rumah dan sistem akuaponik tanaman di luar rumah. Begitu juga dengan pondok rehat di luar rumah menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga elektrik. Jadi tidak perlulah saya menggunakan sistem tenaga solar sepenuhnya untuk kehidupan harian saya. Cukup memadai untuk penggunaan tertentu sahaja. Saya jadikan sebagai satu kemudahan sahaja.

Begitu juga untuk peniaga kecil yang berniaga di bawah payung atau kemah kecil. Sistem tenaga solar berskala kecik boleh digunakan hanyak sekadar untuk menghidupkan kipas angin kecil, mengeas telefon atau mendengar radio.

Gunakan sebagai satu kemudahan dan jadikan ianya sebagai satu kebaikan pada masa yang akan datang seiring dengan negara berteknologi tinggi. Semoga negara terus maju dan diberkati Allah.

Cara Memilih Panel Solar yang Sesuai untuk Projek DIY

Anda tengah berkira-kira nak buat projek DIY solar di rumah? Tapi, tak pasti macam mana nak pilih panel solar yang sesuai ? Jangan risau, s...