Assalamualaikum. Salam ceria.
Sebenarnya masih ramai yang tidak faham akan sistem tenaga solar ini. Seperti yang sebelum ini saya pernah terangkan solar panel tidak menyimpan cas. Solar panel menghasilkan cas elektrik sahaja.
Jika kita pernah lihat solar panel mempunyai pelbagai saiz dan jenis. Ada yang kecil dan ada yang besar. Kita andaikan juga solar panel bersamaan dengan bateri. Ada bateri yang besar dan ada yang kecil saiznya. Jika kita faham fungsi dan kendalian bateri, ia sama juga konsepnya. Saiz kecil tidak boleh digandingkan dengan alatan yang besar penggunaan tenaga.
Saya beri contoh bateri motor 12v dengan bateri kereta 12v. Kedua-duanya mempunyai voltan yang sama iaitu 12 volt. Beza yang sangat cepat kita lihat adalah pada saiz. Jika disambungkan dua lampu 12v kepada bateri 12v motor dan bateri 12v kereta, kedua-dua lampu akan menyala. kemudian dibiarkan ianya menyala. Kita akan lihat lampu pada bateri motor akan padam dulu berbanding lampupada bateri kereta. Ini disebabkan perbezaan kapasiti cas. Begitu juga dengan konsep solar panel.
Saiz solar panel menentukan nilai kuasa (Watt) atau arus (A). Semakin besar siaz solar panel semakin besar nilai Watt. Contoh saya berikan dua solar panel yang berbeza saiz. Satu solar panel 12volt 5watt dan satu lagi 12v 20watt. Kemudian kedua-duanya disambungkan dengan motor DC 12v. Kedua-duanya dihidupkan. Kedua-dua motor berpusing cuma akan nampak perbezaan pada kelajuan setiap motor DC. Motor DC pada solar panel 5watt berpusing perlahan berbanding motor DC pada solar panel 20watt.
Konsep yang sama juga boleh digunakan untuk mengecas bateri. Solar panel yang besar akan mempercepatkan proses mengecas bateri. Manakala solar panel yang kecil pula akan melambatkan proses mengecas. Mungkin memakan masa berjam-jam atau berhari-hari untuk cas penuh.